Rabu, 10 April 2013

Ohzarina : Cara Tidur Yang Betul Untuk Ibu Mengandung





12 Cara Tidur Yang Betul Untuk Ibu Mengandung

1. Posisi tidur mengiring ke kiri
Memandangkan posisi tidur terbaik yang disyorkan sepanjang hamil ialah tidur mengiring ke kiri maka, usahakan untuk tidur dalam posisi ini setiap malam.

2. Mandi air suam
Sebelum tidur, mandi dengan air suam. Rasa segar yang bangkit akan memudahkan anda lena.

3. Elak makan terlalu banyak sebelum tidur
Anda mungkin kerap berasa lapar walaupun ketika sudah tiba masa untuk tidur. Untuk itu, hindari daripada makan terlalu banyak. Alternatifnya, anda boleh mengambil makanan ringan yang lebih berkhasiat.




4. Minum Susu Suam
Kandungan asid amino tryptophan di dalam susu yang meningkatkan kadar serotonin ke dalam otak akan membantu anda untuk tidur nyenyak.

5. Amalan Tarik Nafas
Latihan menarik nafas yang teratur dapat membantu mengurangkan ketegangan otot sekali gus membantu anda untuk tidur lebih baik. Dalam keadaan duduk, berdiri atau berbaring, tarik nafas melalui hidung secara perlahan dan tahan nafas selama satu hingga dua saat. Kemudian hembus dan keluarkan nafas melalui mulut secara perlahan-lahan. Lakukannya dalam ulangan 10 kali.

6. Bersenam
Senaman yang dilakukan secara teratur dapat mengurangkan masalah kekejangan kaki. Namun, adalah tidak digalakkan untuk anda bersenam beberapa jam sebelum tidur kerana endorfin dan adrenalin yang dirembeskan akan membuat mata anda kekal berjaga.

7. Bantal Yang Menyangga
Sangga perut mahupun pinggang dengan bantal bersesuaian. Ia akan membantu menyelaras pinggul dan tulang belakang untuk mendapatkan keselesaan berpanjangan ketika tidur.

8. Suhu Bilik
Sensasi panas yang kerap dialami di penghujung kehamilan sedikit sebanyak mengganggu tidur. Jadi, pastikan suhu bilik anda sentiasa nyaman. Jika tidak menggunakan penghawa dingin, pasti aliran udara di dalam bilik sentiasa lancar agar tidak menimbulkan kepanasan melampau.

9. Katil Yang Selesa
Keadaan katil yang selesa tentu sahaja dapat menimbulkan keselesaan kepada anda yang mula mengalami masalah tidur terutamanya di penghujung usia kehamilan. Pastikan tilam yang digunakan berkualiti baik dan memberi sokongan yang baik kepada tulang belakang. Sekurang-kurangnya ia membantu anda tidur dengan lena tanpa perlu risau dengan komplikasi lain yang timbul akibat penggunaan katil yang kurang baik.

10. Rutin Tidur
Biasakan diri untuk melakukan rutin menenangkan setiap kali sebelum tidur. Sebagai contoh, mandi menggunakan air suam diikuti mendandan diri dengan menyapu pelembap di bahagian tubuh yang bermasalah kering ketika hamil ini dan selanjutnya membaca bahan bacaan ringan sebelum melelapkan mata. Dengan yang demikian, minda akan diselaraskan untuk mengetahui rutin ini merupakan petunjuk bahawa sudah tiba masanya untuk tidur.

11. Pakaian Tidur
Baju tidur yang disarungkan turut memainkan peranan penting. Oleh yang demikian, pakai baju tidur yang mampu menyerap peluh dengan baik. Hal ini kerana pakaian yang tidak bersesuaian mungkin akan menyebabkan sensasi panas yang biasa dialami di akhir trimester kehamilan mengganggu tidur anda.

12. Suasana Bilik Tidur
Keadaan bilik yang tenang dan nyaman pasti mengundang mood anda yang keletihan seharian untuk tidur dengan nyenyak. Anda boleh mewujudkan suasana sebegini dengan memastikan bilik sentiasa berkeadaan kemas, menggunakan lampu malap selain menyembur wangian atau minyak aromaterapi yang mampu meninggalkan aroma segar sepanjang anda tidur.

Sumber : Klik Sini



Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...