Khamis, 27 Jun 2013

Ohzarina : Alat Pencegah Suami Bermaksiat

Apakah agaknya alat atau cara dan kaedah terbaik untuk mencegah suami bermaksiat?

Gam
Lekat  hati anda dan suami ketat-ketat, jadi orang pertama yang diingat selepas bangun tidur dan jadi orang terakhir yang disentuh sebelum tidur. Kirim mesej-mesej yang menggeletik jiwanya jika dia membaca, jangan bagi peluang orang atau apa-apa saja mempengaruhi suami sebelum anda berjaya melekat dalam hatinya.

Jadi teman terbaik yang sudi berkongsi....


....dan sahabat yang sentiasa ada masa untuknya. Suami jadi nakal kerana kurang perhatian seperti kanak-kanak juga, sayangnya isteri tidak larat melayan suami seperti dulu lagi. Apabila anak-anak sudah meminta haknya untuk diperhatikan terpaksalah isteri membahagi dirinya sepotong demi sepotong untuk anak-anak dan suami.

Malang jika isteri kehabisan tenaga untuk melayan orang-orang yang disayangi, semestinya isteri bersedia untuk lebih kuat daripada suami dan anak-anak. Ambil makanan dan suplemen terbaik, alat-alat kecantikan, pakaian dan perhiasan yang terkini.

Segalanya untuk menjadi yang tercantik bagi suami dan anak-anak kerana cabaran isteri cukup hebat pada zaman wanita tidak lagi malu melamar suami orang terang-terangan! Gam suami dengan kekuatan cinta, kasih sayang dan semangat setia seorang sahabat. Tempel kulit dengan kulit, mata dengan mata, hati dengan hati menggunakan gam kasih sayang.

Buku
Perkahwinan ibarat buku yang di dalamnya yang tersenarai kisah-kisah yang boleh dijadikan sempadan. Kelmarin bergaduh, sekarang ketawa, sakit hati kemudian bahagia, sedih akhirnya ceria.

Semua kisah mengandungi pengajaran, setiap ujian membuka mata tentang kesilapan lalu, di dalam buku cerita ini kita membaca tentang diri dan pasangan. Mencari kesilapan dan cuba menyelesaikan masalah dengan ilmu bukan dengan nafsu. Ambillah buku terbaik yang mengandungi manual-manual pintar dari langit. Al-Quran dikaji, difahami dan diamalkan untuk mencari jalan keluar dari berserabutnya masalah kisah nyata suami dan isteri.

Hadis dan sirah Rasulullah SAW menjadi sandaran hukum yang menjadi bacaan wajib untuk menenteramkan keluarga sakinah. Mencari hidayah di setiap tulisan penuh hikmah di mana saja, majalah atau televisyen, internet dan telefon pintar. Mencari jawapan atas setiap permasalahan hidup dengan ilmu Allah SWT.

Jika suami sibuk dengan ilmu jangan lupa ingatkan dengan ibadah kerana ramai yang terperangkap oleh ilmunya dengan jubah sarjana kesombongannya. Ilmu dan amal jangan sekali dipisahkan, malangnya jika suami berilmu tapi masih bermata keranjang.

Wang
Cara ketiga adalah wang, tanpa harta cinta boleh binasa dan mungkin sebaliknya. Kalau ramai suami bercinta lagi dengan gadis-gadis muda saat kaya mendadak, kenapa isteri tidak berperanan menjadikan kekayaan itu sebagai kekuatan pembekal iman suami? Iman yang tidak kalah digoda oleh nafsu cinta murahan?

Ambil wang suami untuk membeli hidayah, mencari ilmu, bermusafir mencari ketenangan berdua-duaan, mencari suasana romantiknya cinta ke serata dunia. Jangan sesekali lupakan sumber cinta itu berpusat di rumah Allah.

 Ramai yang pergi umrah dan haji untuk menyelesaikan masalah rumah tangga, malangnya jika sudah kembali ke tanah air seakan-akan hilanglah Allah daripada jiwa mereka.

Konflik itu pun kembali bergejolak. Hakikatnya Allah bukan berada di Makkah dan Madinah saja, Dia dekat daripada urat leher kita. Beribadahlah dengan harta yang ada, tak kira semasa miskin atau kaya. Jadikan harta itu bekal kekuatan iman.


Walau bermacam-macam cara yang ada, namun alat terakhir yang paling hebat kuasanya untuk mencegah suami bermaksiat adalah takwa, rasa takut kepada Allah SWT. Semoga para isteri mampu membaiki setiap sudut yang masih kurang untuk mencegah si suami daripada terhumban dalam dunia maksiat. 


Sumber : Klik Sini

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...