Rabu, 24 Julai 2013

Ohzarina : Giliran Anak Menjadi Mangsa Buaya


TERSELAMAT: Annuar ditemani isterinya mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei setelah dirujuk dari Hospital Saratok, 

Selang satu tahun, 10 bulan dan satu hari selepas Sulaiman Abdullah, 66, dari Kampung Melayu Roban diserang buaya ganas yang diberi jolokan ‘Bujang Seblak’ oleh penduduk tempatan, kejadian sama berlaku pula ke atas anaknya, Annuar Sulaiman, 39.

Bezanya, Annuar terselamat dalam insiden terbaharu, manakala bapanya terkorban dibaham buaya berkenaan.


Abang mangsa, Endoi Sulaiman, 42, yang bersama mangsa sewaktu kejadian berkata, dia tidak menyangka hampir menjadi saksi yang sama untuk kali kedua dalam kejadian itu.


LOKASI SERANGAN: Endoi menunjukkan lokasi berlaku serangan buaya terhadap adiknya
 “Jika setahun lalu, saya menyaksikan dengan mata sendiri bapa saya menjadi mangsa serangan buaya, kini kejadian yang serupa hampir berlaku sekali lagi di hadapan saya.

“Semasa kejadian, saya dan adik saya sedang bersiap-siap hendak pulang ke kampung setelah selesai membantu ibu saudara saya dan anaknya yang merupakan nelayan sungai, yang sama kampung dengan kami, mengutip hasil tangkapan daripada belat (pukat) mereka.

“Kami menggunakan dua buah perahu berasingan, di mana saya dan adik saya menaiki perahu yang sama.

“Ketika kami hendak balik, adik saya berdiri di gigi air untuk membetulkan kipas enjin bot yang kami gunakan yang secara kebetulan telah patah ‘pin’ (kekunci kipas), manakala saya berdiri di sebelahnya sambil menyaksikan dia memperbaiki ‘pin’ tersebut.

“Tiba-tiba dalam sekelip mata saya melihat adik saya seolah-olah ditarik sesuatu yang amat besar dari dalam air, sambil dia berusaha berpaut di tepi perahu. Melihat kejadian itu, saya segera menyambar tangannya,” cerita Endoi ketika ditemui di Hospital Saratok,

Menurut Endoi, kejadian serangan itu berlaku di kawasan berhampiran dengan rumah panjang Pelunga, Roban sekitar jam 9 malam.

“Melihat Annuar yang ditarik buaya tersebut ke tengah sungai, saya dengan penuh kudrat dan tenaga terus memegang kukuh tangannya, sambil kaki saya memasang kekuda di bahagian tepi perahu.

“Berikutan tarikan kuat dan pergelutan dengan buaya, perahu kami berdua telah bergerak ke tengah sungai. Melihat detik cemas tersebut, ibu saudara saya dan anaknya yang masih berada di lokasi sama bergegas menghulurkan bantuan.
“Makcik saya telah memegang kukuh haluan kami berdua dari perahu mereka, manakala anaknya mengambil sebatang galah panjang dari buluh, lalu mencucuk-cucuk dan memukul ke dalam air.

“Dalam usaha tersebut dan mungkin terkena pukulan, tiba-tiba buaya terbabit melepaskan gigitan di kaki kiri adik saya itu. Melihat peluang tersebut, saya dengan segera menarik adik saya naik terus ke dalam perahu,” ujarnya.
Sejurus melepaskan diri, Endoi bersama ibu saudara dan anaknya segera meninggalkan lokasi kejadian dengan membawa Annuar yang menahan kesakitan akibat gigitan buaya pulang ke Kampung Melayu Roban sebelum dikejarkan ke Hospital Saratok.

Tulang kaki kiri Annuar patah berikutan serangan itu.

Sebelum ini, reptilia di Sungai Seblak mempunyai sejarah serangan tersendiri mulai tahun 2007 di mana lima mangsanya adalah nelayan sungai, selain seorang isteri tuai rumah dari Sungai Anak.

Mangsa terakhir ‘Bujang Seblak’ ialah Manja Salman, 29, dari Kampung Sessang yang terbunuh pada Mac 2013.

Sementara itu, Annuar yang ditemui di Hospital Sarikei setelah dirujuk dari Hospital Saratok semalam berkata, biarpun kejadian itu menimpa dirinya, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menangkap ikan di Sungai Seblak yang menjadi sumber rezeki keluarganya.

“Pekerjaan sebagai nelayan sungai ini sudah sebati dalam diri saya dan ia telah dilakukan sejak turun-temurun oleh keluarga kami.

“Tujuh orang anak saya membesar dengan hasil tangkapan yang saya perolehi dari sungai. Cuma satu pemintaan saya sekarang ialah berharap pihak berkaitan melakukan usaha berkesan utuk mengatasi masalah ini,” kata Annuar sambil menyifatkan konflik di antara buaya dengan manusia akan terus berlaku walaupun terdapat usaha pihak berkuasa memburu reptilia tersebut di Sungai Seblak.

Dalam tinjauan pemberita bersama Endoi di lokasi serangan buaya berhampiran Rumah Pelunga di sini semalam, seorang penduduk memberitahu terdapat tiga ekor buaya bersaiz agak besar sering kelihatan di lokasi tersebut.

“Terdapat tiga perbezaan yang ketara bagi tiga buaya tersebut, seekor bersaiz agak besar berwarna hitam-kehitaman, seekor sederhana besar berwarna hitam kekuningan, manakala seekor lagi agak kecil berbanding dengan dua ekor terbabit, berwarna hitam dan sedikit kuning cerah,” jelasnya.

Lokasi serangan tersebut terletak lebih kurang 15 minit perjalanan menaiki perahu enjin pam dari Kampung Melayu Roban dan juga terkenal sebagai lubuk buaya oleh masyarakat setempat.-borneopost

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...